Khamis, 31 Ogos 2017

DIET CANDIDA


Diet Candida menggalakkan makanan penapaian seperti tempe dalam pemakanan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Masih dalam bab diet.  
Ini diet yang mungkin masih jarang di dengari iaitu candida diet atau diet candida. 

Diet candida di galakkan di amalkan oleh golongan yang menghadapi 'candida over growth'  atau candida terlebih biak. 

Kebiasaannya mereka yang menghadapi masalah auto imun seperti ring worm,  resdung,  alergi,  asma,  lidah yang punyai tompok putih,  migrain, gout,  keputihan,  masalah hormon tidak seimbang,  lemah tenaga seksual, masalah antibodi yang lemah,  mudah marah, mood cepat berubah dan badan yang penuh angin adalah mereka yang tergolong dalam golongan yang menghadapi masalah candida overgrowth. 

Candida over growth Kebiasaannya dihadapi oleh mereka yang ketagih makanan manis atau manisan. 

Sekali mereka tidak dapat menikmati makanan ini mereka akan menggeletar dan mudah kelaparan serta inginkan sesuatu yang manis untuk mengelakkan ketagihan. 

Jika anda antara golongan yang sukakan minuman dan makanan manis seperti coklat dan air manis kemungkinan anda tergolong dalam golongan yang menghadapi isu candida terlebih biak. 

Selain itu mereka yang kerap menikmati makanan tinggi karbohidrat,  yis dan pengambilan antibiotik yang kerap adalah antara golongan yang berisiko menghadiri isu candida terlebih biak. 

Bagi pesakit asma yang kerap menggunakan inhaler,  wanita yang kerap mengamalkan pil perancang dan mereka yang menghadapi masalah kanser dan kencing manis,  isu candida terlebih biak ini juga sering menghantui golongan ini. 

Antara basic asas diet candida ini ialah 
1. Mengelakkan gula tiruan atau gula proses dan hanya menikmati pemanis Semulajadi seperti madu mentah (raw honey) sebagai pengganti gula atau daun stevia asli (bukan proses). 

2. Selain gula proses,  buah-buahan manis juga harus dielakkan untuk mereka yang mengamalkan diet candida.  Buah kurang manis dan masam dibenarkan.  Antara buah manis yang harus dielakkan termasuk buah tinggi gula seperti betik, manggo,  pisang dan oren atau epal yang manis. Buah masam seperti beri,  lemon,  epal hijau,  oren masam dan sebagainya digalakkan sebagai menu utama. 

3.  Makanan peraman atau melalui proses penapaian yang masam juga antara menu wajib dalam pemakanan.  Antara minuman dan makanan penapaian ialah tempe, tempoyak,  budu,  cencaluk,  Kimchi, miso sup, kefir,  kambucha dan pelbagai lagi.

4. Makanan tinggi karbohidrat proses harus ditinggalkan.  Selain itu makanan yang mengandungi Gluten wajib di tinggalkan untuk fasa pertama diet candida ini.  Antara makanan popular Yang mengandungi Gluten inilah gandum (termasuk gandum penuh dan gandum organik),  Rye, barli dan sebagainya. 

5. Makanan yang mengandungi yis terutama yis komersial juga harus di buang dari diet anda.  Donut,  Pizza,  roti antara makanan yang kaya yis yang tidak bagus untuk penderita isu candida terlebih biak. 

6. Untuk fasa pertama hanya sayur-sayuran steal atau mentah di galakkan.  Terutama sayur-sayuran hijau berdaun.  Sayur-sayuran dalam bentuk ubi-ubian,  berakar,  seperti lobak,  kentang,  jagung,  labu,  ubat bit juga capsicum harus dielakkan dalam fasa pertama. 

7. Untuk protein dan menu utama dalam diet candida digalakkan anda menikmati susu segar mentah seperti susu kambing atau susu lembu.  Paling utama susu kambing.  Amat bagus jika anda mengamalkan kefir susu kambing. 

8. Cuka epal dan minyak kelapa dara adalah antara bahan atau supplement wajib yang harus ada dalam diet candida.  Tambahkan cuka epal dalam minuman dan makanan anda seperti sup dan salad.  Bone broth menu utama yang turut digalakkan dalam diet candida adalah di galakkan ditambah cuka epal atau jus limau.  Minyak kelapa dara juga boleh diminum terus atau di tambah dalam minuman Smoothie hijau pengamal diet candida. 

9. Selain Bone broth dari tulang ayam dan tulang binatang lain termasuk ikan,  anda juga boleh membuat bone broth dari sayur-sayuran yang dibenarkan dalam diet candida. 

10.  Bawang putih mentah juga adalah antara menu wajib dalam diet candida. Ketuk dan cincang bawang putih mentah.  Biarkan selama 10 minit untuk pengeluaran Alicin kemudian nikmati bawang putih mentah ini sebagai ulam dengan nasi atau sup,  atau makan sahaja ia sebagai Supplements tunggal. 

Diet candida ini seperti diet lain. Perlukan pembacaan dan pemahaman yang panjang. 

Terlalu banyak lagi pantang larang dan jenis makanan sebenar yang harus diambil dan dielakkan.

Penulisan ini adalah asas untuk diet candida sahaja. 

Diet candida antara diet paling sihat untuk diamalkan dan bagus diamalkan oleh sesiapa sahaja. 

Ramai pesakit diabetes,  kanser dan auto imun lain sembuh hanya dengan mengamalkan diet candida ini. 

Selamat Mencuba diet candida bagi anda yang ingin mencuba diet candida ini. 

Terima kasih. 





Ingatan Hati


Anak kucing apabila sukakan sesuatu dari tidur nyenyak pun akan bangun 


Ketika berpisah bertahun lamanya,  hati hanya inginkan si dia sahaja. 

Akhirnya setelah bertahun memendam rindu dan duka lara. 

Akhirnya jodoh menyatukan anda berdua. 

Hebatkan cinta,  sanggup menunggu seabad lamanya untuk cinta. 

Benar kata pujangga. 

Ketika belum dapat,  yang sukar untuk dimiliki itulah yang kita akan kejar dan rasakan cinta mati. 

Namun setelah berjaya melalui dan mendapatkan cinta abadi kita itu akhirnya kita mula membezakan si dia,  jodoh kita itu dengan insan lain. 

Membezakan pasangan kita dengan pasangan insan lain yang lebih hebat. 

Lebih hensem,  cantik,  bijak, muda,  menarik dan kaya raya. 

Wahai dunia. 
Lupakah engkau saat engkau benar-benar inginkan jodoh ketika semua di sekeliling berjodohan. 

Lupakah anda,  dia yang anda agung-agungkan.  Menangis dalam doa.  Hanya dia yang anda rindu dan mahukan. 

Lupakah anda niat ketika anda belum memiliki. 

Menjadi pasangan terhebat dalam memberi layanan dan kebahagiaan kepada masing-masing. 

Mengapa kini anda mula membezakan yang di miliki dengan yang tidak di miliki. 

Mengapa kini anda tidak nampak semua kesempurnaan dahulu. 

Mengapa hanya kekurangan dan persengketaan yang anda wujudkan. 

Ketidak puas hati. 

Sampai bila anda akan terus tidak puas hati.

Ini ingatan untuk saya,  anda atau sesiapa sahaja yang membaca atau yang di beritahu. 

Ketahuilah manusia jarang bersyukur dengan apa yang dimiliki. 

Jarang melihat apa yang ada di depan mata. 

Ego dan berlagak. 

Terasa kita lebih hebat.  Memandang rendah terhadap pasangan kita yang telah kita beri harapan dan cinta. 

Rasa kira masih laku.
Menyampah dan memandang rendah pasangan sendiri. 

Ketahuilah,  anda tidak akan tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan,  hari ini apa yang anda lihat ada pada insan lain tidak mungkin kekal selamanya. 

Ketahuilah apa yang dia ada,  ada sesuatu yang tuhan tarik. 

Apa yang kita ada pasti ada yang mereka tiada yang kita langsung tidak sedari. 

Usah diperbodohkan dengan apa yang di paparkan di media sosial. 

Tiada populariti yang kekal.  Tiada kekayaan dan pangkat berpanjangan selamanya. 

Tiada yang kekal muda,  akan terus ada yang lebih hebat. 

Wajah kacak dan ayu tidak menjamin bahagia. 
Dan usah cemar hari ini,  bimbang di hari tua anda akan hilang segalanya. 

Kebahagiaan di hari tua,  kebanyakannya lahir dari berkat kesabaran dan pengorbanan serta pemikiran matang yang tidak mementingkan diri sendiri. 

Lihat sekeliling anda,  golongan emas yang lebih tua.  Lihat dengan mata hati. 

Anda akan lihat dengan jelas,  perbezaan layanan yang di dapati mereka dari orang tersayang. 

Semoga kita antara insan yang bijak menghargai dan memikirkan masa depan dengan lebih panjang. 

Sekali kita melukakan insan lain,  ingat akan ada balasan menanti. 


Terima kasih. 



Isnin, 28 Ogos 2017

Serbuk Minuman Beras Perang Sihat



Serbuk Beras Perang asli
Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Artikel sebelum ini menyentuh mengenai kepentingan membaca bahan-bahan di belakang bungkusan makanan yang anda pilih dan beli. 

Tentu sekali ramai antara kita yang gemarkan sesuatu yang ringkas dan mengenyangkan dan antara pilihan yang sering menjadi keutamaan masyarakat moden yang sering inginkan sesuatu yang pantas ialah membeli minuman segera 3 IN 1 dalam peket.  

Memang mudah kerana anda hanya perlu tambah air panas sahaja. 

Sayang cara ini memberi kesan jangka panjang yang tidak bagus untuk kesihatan. 

Maka masa untuk anda membuat bungkusan 3 in 1 sendiri. 

Anda boleh membancuh dalam bekas kecil atau peket kecil campuran susu tepung asli,  serbuk koko (jika anda suka)  atau oat untuk lebih kenyang. 

Jika anda tidak sukakan koko lebih sukakan kopi,  buat sahaja campuran sendiri kopi asli dan gula perang. 

Pastikan buat dalam peket kecil untuk 3-4 peket sahaja. 

Bahan-bahan asli tidak tahan lama dan mudah rosak jika di campurkan.  Itu alasan untuk anda membuatnya dalam peket kecil sahaja. 

Bawa sahaja peket kecil itu dan simpan sahaja di pejabat atau dalam beg anda.  Dan jika anda di gerai atau restoran hanya minta air panas. 

Untuk anda yang sedang berdiet sihat dan Eat Clean selain oat anda juga boleh belajar menikmati serbuk beras perang yang boleh di tambah dalam minuman kegemaran anda.

Serbuk beras perang ini juga boleh di tambah dalam minuman bijirin lain dan di dalam nasi,  sup atau bubur. 

Ia kaya dengan pelbagai khasiat dan mineral untuk menguatkan tubuh malah lebih mengenyangkan dalam masa yang lama. 

Nikmati makanan wholefood yang sihat dan memberi sel anda makanan yang sihat barulah tubuh anda kuat dan sihat serta awet muda.  

Pilih serbuk beras perang 100% dan tanpa gula

Sila baca dan lihat kandungan bahan-bahan di kotak dengan jelas. 

Serbuk beras perang Nature's Own ini terdapat dalam pelbagai versi,  maka jangan tersilap pilih. 

Pastikan pilih hanya kandungan 100% beras perang atau beras merah. 

Terdapat pelbagai lagi jenama produk serbuk beras perang,  anda boleh pilih jenama apa sahaja asalkan ia adalah asli. 

Serbuk beras perang ini sesuai dijadikan sebagai sarapan,  snek,  lunch,  hitea Makan malam dan sebagainya. 

Tambah lagi pilihan makanan berkhasiat dalam menu sihat anda. 

Dapatkan hari ini serbuk beras perang yang harganya mampu milik malah di bawah RM10. 

Selamat Mencuba. 

Semoga maklumat ini memberi Info dan inspirasi untuk anda dalam terus menjalani diet lebih sihat. 


Terima kasih. 



Contoh Bahan-bahan di dalam Produk 3 in 1 Komersial


Lihat bahan-bahan yang di gunakan 

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Artikel sebelum ini menerangkan bagaimana bahan-bahan yang jelas digunakan dalam pembuatan cookies ditulis dengan terang dan bahan yang mudah difahami serta mudah didapati dan dibuat di rumah.

Gambar di atas menunjukkan salah satu campuran minuman oat 3 in 1 popular,  Yang pastinya ramai dari anda tahu betapa minuman 3 in 1 atau segera ini kaya dengan gula dan bahan proses yang tidak baik untuk kesihatan.

Sila lihat perbezaan ketara dengan bahan-bahan dalam artikel sebelum ini berbanding bahan-bahan yang tertera di bahagian bungkusan minuman oat 3 in 1 ini.

(Artikel sebelum ini Pilih Produk menggunakan Bahan Mudah Dikenali)

Kalsium karbonat,  penambah perisa,  penstabil dan pelbagai lagi bahan yang memerlukan anda memikirkan dengan rumit bahan ini jika anda ditugaskan mencari.

Membayangkan rupa bahan ini pun anda tidak mampu,  apa lagi mencarinya di pasaraya berhampiran anda.

Maka ini jelas menunjukkan bahawa bahan ini bukan dari bahan semula jadi yang biasa anda gunakan di dapur.

Lebih selamat dan jimat jika anda membeli oat sebenar dan bancuh sendiri minuman kegemaran anda yang anda tahu apa bancuhannya.

Oat 3 in 1 ini menggunakan oat sebenar,  namun campuran bahan lain yang menyebabkan ia menjadi kurang sihat.

Pujian harus diberikan untuk tanpa trans fat yang dipaparkan di bungkusan ini,  namun itu tidak bermaksud ia sihat kerana ia kekal produk komersial yang tinggi bahan proses lain.

Pilih susu segar asli atau susu tepung asli.. Pilih oat 100%, insyallah ia jauh lebih sihat berbanding minuman segera seperti ini.

Bijaklah memilih pemakanan dalam seharian anda kerana ia akan digunakan tubuh dan memberi kesan sepanjang hayat.

Semoga Info ini memberi manfaat kepada anda.

** jika anda masih kekal ingin kan produk 3 IN 1 komersial kerana tidak mampu menelan yang asli, ( ia memerlukan masa untuk melatih lidah dan selera, digalakkan anda melatih diri dengan makanan asli) anda masih boleh memilih produk komersial ini yang lebih sihat berbanding produk komersial 3 in 1 lain yang mengandungi trans fat dan bukan bijirin sebenar.

Terima kasih. 



Ahad, 27 Ogos 2017

Pilih Bahan-bahan Jelas Dikenali


Bahan-bahan yang digunakan jelas dan dikenali
Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Masih dalam proses pembelajaran makanan sebenar atau Real food. 

Ketika anda memilih setiap produk makanan atau kesihatan pastikan anda jelas segala bahan-bahan yang terpapar di bungkusan. 

Contoh seperti di atas.  Badam di sebut badam,  gula di sebut gula,  Mentega di sebut Mentega bukan nama lain yang anda sendiri tidak kenal dan tidak pernah mendengar bahan tersebut kecuali di paparan produk komersial. 

Dari bahan-bahan yang dipaparkan anda tahu bahawa anda boleh membuatnya sendiri kerana ia jelas Homemade dan jauh lebih selamat dan natural. 

Tiada penambah rasa,  pengawet,  pengemulsi, bahan perasa dan penambah perisa yang anda sendiri tidak pernah kenal dan jumpa. 

Produk komersial khususnya mempunyai bahan perasa yang menyebabkan ketagihan dan menyukarkan anda untuk kenyang. 

Bagi produk natural seperti ini ia memang kekurangan dari segi rasa dan bau. 

Amat berbeza dengan cookies famous amount. 

Namun yang pasti ia lebih Real dan jauh lebih selamat walaupun mungkin kalah dari segi rasa dan bau. 

Belajar membaca bahan-bahan yang digunakan di produk yang anda makan dan gunakan. 

Pastikan bahan-bahan yang dipaparkan senang disebut,  dikenali dan ringkas untuk di fahami. 

Anda harus faham apa itu bahan proses,  di mana nama dan sebutan juga melambangkan 'ada proses'  diperlukan untuk menjadi bahan tersebut. 

Bahan-bahan ini bukan sahaja bakal menjejaskan kesihatan malah juga boleh menjadi sebab anda sukar menurunkan berat badan dan mengalami alahan kulit,  masalah alergi,  masalah kesihatan termasuk masalah emosi dan mental. 

Selamat menambah ilmu Perlahan-lahan dan semakin anda membaca semakin anda tahu bahawa terlalu banyak perkara remeh yang sering diabaikan dan betapa kita semua sentiasa harus rajin membaca dan memperbaiki diri. 

Terlalu banyak pengetahuan am yang tidak di ajar ketika kita di universiti,  namun harus dicari sendiri. 

Saya seperti insan lain dan anda juga ada ilmu yang saya tahu dan banyak lagi perkara yang saya tidak tahu dan harus ambil tahu. 

Selamat mendidik diri sendiri. 

Terima kasih. 



Making Progress


Pilih sushi yang kurang bahan dan sihat serta lebih murah
Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Mengikut azam untuk menikmati makanan lebih sihat dan Eat Clean,  tidak begitu mudah bagi individu berpandukan Life style hidup masing-masing. 

Namun yang paling penting dalam mengejar impian dan azam,  tidak kira dalam apa sahaja dalam hidup ialah proses yang anda lalui terdapat Progress atau improvement dari sebelumnya  atau dengan kata lain diet anda telah banyak berubah ke arah lebih baik berbanding sebelumnya. 

Islam juga mendidik umatnya,  dari baik menjadi lebih baik dari hari ke hari.  Dari hanya sembahyang wajib di tambah puasa sunat dan pelbagai amalan lain. 

Malah seorang ibu biasa suri rumah juga bermula hanya dari gula Putih dan garam putih kemudian bertukar ke gula perang dan garam Pink,  baru bermula mengurangkan penggunaan gula bertahun kemudian. 

Malah saya sendiri belajar mengurangkan Makeup dan alat solek,  hari demi hari seiring usia dan kesedaran.

Malah tentu sahaja saya mencari alat solek yang kurang bahan kimia sebolehnya.  Namun atas Budget saya hanya berjaya mengurangkan penggunaan alat solekan dahulu dan masih menggunakan alat solek jenama komersial yang masih punyai bahan kimia.

Begitu juga dengan pewangi tubuh atau Perfume.  Jika dahulu hampir setiap hari saya menggunakan Perfume komersial itu,  seiring kesedaran bahaya bahan kimia bertoksid dalam pewangi saya kini semakin kurang menggunakan semburan pewangi.

Masih berada di kalangan mereka yang menggunakan bahan kimia dalam produk kegunaan harian namun itu antara perkara di luar bidang kuasa saya,  maka saya hanya redha.

Paling penting semua bermula dari diri sendiri.

Sebelum ini Pizza dan makanan segera lain menjadi pilihan jika ke pasaraya.  Kini saya lebih suka memilih sushi dan tentunya pilihan saya sushi yang paling kurang bahan.

Sushi kurang bahan tentu lebih murah dan lebih sihat sekaligus menjadikan budget saya lebih selamat untuk membeli produk makanan organik yang lebih sihat.

Jika anda memilih sushi,  pilih yang paling kurang bahan dan anda kenal bahan itu.  Mayonis bukan bahan yang sihat.

Begitu juga dalam persediaan makanan. Semakin banyak bahan makanan yang anda tidak kenal,  semakin ia kurang sihat.

Hanya tambah bahan yang anda kenal seperti garam dan gula jika perlu.  Kiub pati ayam atau pati bilis elakkan kecuali pati ayam itu hasil dari rebusan ayam asli yang anda masak sendiri atau ikan bilis yang disiang dan ditumbuk sendiri.

Jika anda biasa menikmati air manis di luar,  sila tukarkan dengan jus buah tanpa gula.  Jika anda biasa menikmati donut,  kurangkan portion donut kegemaran anda.

Nikmati lebih buah dan sayur-sayuran.  Belajar menikmati sayur-sayuran tanpa di masak.

Kurangkan membuat jus buah namun nikmati buah sebenar lebih elok walaupun jus buah anda tanpa gula.

Untuk Eat Clean,  mulakan dengan satu menu mungkin untuk makan tengah hari dahulu atau satu menu dalam sehari yang Eat Clean.

Jika anda boleh buat lebih dari satu,  ia bonus besar.

Dari step ke step,  perubahan kecil ia pasti akan tercapai dalam misi Eat Clean.

Begitu juga dengan anda yang mengidamkan perkara yang sama dalam pemakanan sihat.

Belajar Perlahan-lahan dalam mengubah diet yang lebih sihat.

Pastikan diet anda lebih sihat dari hari ke hari bukan semakin teruk.

Lebih baik ada perubahan dari langsung tiada.

Selamat Mencuba.


Terima kasih.





Roti Sihat Tanpa Tepung Gandum


Roti dengan 7 bijian tercambah 
Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Masih lagi dalam bab diet dan Eat Clean. 

Jika sebelum ini saya ada berkongsi roti dari syarikat bakery yang sama namun dalam bungkusan berwarna merah. 

Roti ini pula dari jenis lain namun syarikat bakery yang sama namun berwarna hijau. 

Ia jauh lebih enak dari roti sama dalam bungkusan warna merah. 

Tidak seperti roti Sourdough yang lebih mahal dan organik,  roti ini lebih murah dan lebih berat iaitu 450 gram. 

Ia jauh lebih jimat dan murah berbanding roti Sourdough. 

Roti tercambah ini lebih sihat berbanding roti yang menggunakan tepung gandum khususnya. 

Namun roti ini tidak seperti roti Sourdough yang menggunakan yis liar,  roti ini masih menggunakannya yis. 

Di zaman moden ini,  semakin ditekankan masalah penghadaman dan usus bocor.  Antara yang kerap di war-warkan ialah Gluten yang terdapat dalam gandum khususnya. 

Gluten juga di percayai antara penyebab obesiti dan masalah kesihatan lain. 

Masyarakat moden hari ini sentiasa ingin cepat dan inginkan sesuatu yang mengenyangkan. 

Roti antara pilihan paling mudah untuk dinikmati baik di kalangan kanak-kanak mahupun dewasa. 

Maka adalah satu kemestian untuk mencari dan mendapatkan roti lebih sihat. 

Tidak seperti roti komersial yang tinggi kandungan bahan tidak sihat,  roti yang lebih Semulajadi menjadi pilihan mereka yang mementingkan kesihatan. 

Namun ada sesetengah roti Sihat yang kurang enak dan tidak mampu di telan. 

Roti hijau ini lebih senang di telan dan diterima di tekak berbanding roti sama dalam bungkusan berwarna merah.

Untuk imej roti dan Review roti dalam bungkusan merah dari syarikat bakery ini anda boleh rujuk artikel

Roti Terbaik Untuk Diet Anda

Roti dalam bungkusan merah ini lebih rasa serat yang kering dan agak sukar di telan berbanding rasa roti hijau ini.

Anda boleh memilih roti yang paling sesuai untuk anda.

Selain 2 roti ini saya turut berkongsi pilihan roti Sihat lain dalam label kategori diet di Blog ini.


Selamat membaca dan mencuba.


Terima kasih.




Roti Pilihan untuk Eat Clean


Antara Roti Bio Detox keluaran NHF
 Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Lama tidak mengemaskini Blog,  hari ini saya cuba sedaya upaya berkongsi beberapa artikel di Blog ini untuk anda. 

Masih mencuba Eat Clean,  untuk setakat ini masih belum berjaya namun tekad masih ada untuk mencuba hari seterusnya. 

Sesuai untuk anda yang mencari sesuatu untuk Eat Clean namun tidak punya masa memasak atau tiada mood untuk memasak anda boleh mencuba roti steam keluaran NHF yang diperkenalkan bertahun dulu,  namun baru sahaja dicuba oleh saya. 

Berbeza roti biasa yang dibakar,  roti ini di steam dan tentunya ia lebih sihat berbanding roti yang dibakar. 

Namun roti ini masih punyai Gluten dan yis yang tidak sesuai untuk mereka yang sedang berdiet tanpa gluten dan mereka yang alah pada yis. 

Untuk info mereka yang menghadapi masalah penghadaman tidak digalakkan menikmati makanan berunsur Gluten seperti gandum dan juga makanan beryis. 

Sesetengah individu yang alah yis dan Gluten juga boleh menyebabkan sakit kepala,  sembelit,  loya dan perut sebu.


Keterangan jelas di belakang roti
Antara pilihan roti Bread Of Life,  keluaran NHF ini termasuk bun kacang merah,  bun chocolate  dan bun bijan hitam. 

Saya telah mencuba ketiga-tiga perisa diatas,  dan yang paling saya gemari ialah perisa coklat.

Saya tidak menggalakkan anda Yang menghadapi isu ekzema dan mengharungi TSW menikmati atau mengamalkan roti jenis ini. 

Roti ini sesuai untuk anda yang ingin berdiet sihat dan Eat Clean  kerana ia tiada pengawet,  tiada gula Putih dan tiada trans fat. 

Semua bahan yang digunakan majoriti adalah organik dan terpilih lagi Semulajadi. 

Roti Bio Detox ini tinggi fiber,  kalsium dan magnesium,  baik untuk tubuh,  dan menguatkan kesihatan selain mengurangkan isu simptom monopos dan kesihatan lain. 

Malah roti ini turut kurang asid dan bagus untuk penglihatan. 

Roti ini adalah roti Vegan dan sesuai untuk pengamal diet sayur-sayuran.  Malah ia juga mendapat sijil Halal dari Jakim. 

Berharga RM8.40  dan ia perlu disimpan di dalam peti ais kerana tiada bahan pengawet dan bahan penahan. 

Saya makan roti ini begitu sahaja tanpa di steam setelah dikeluarkan dari peti. 

Saya menikmati roti ini bersama air koko panas atau air kopi atau menikmati ia segera kosong. 

Anda boleh menjadikan pilihan roti ini untuk sarapan pagi,  tengah hari,  petang,  snack atau malam. 

Roti ini juga turut di jual di kedai organik terpilih selain cawangan kedai organik NHF. 


Selamat Mencuba. 


Terima kasih. 





Khamis, 17 Ogos 2017

Mohon Kekuatan


Menu makanan sihat dan kurang sihar

Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Satu perkara harus di akui,  lagi lama menunda lagi sukar bermula. 

Apabila telah bermula,  terus fokus tanpa terjebak dengan anasir luar lain. 

Jalan Terus.  Jangan masuk track lain. 

Bermula dengan diet Ekzema yang agak ketat.  

Alhamdulillah ia berjaya selama 3 bulan. 

Namun Perlahan-lahan ia semakin kecundang seiring kesembuhan. 

Kini amat sukar untuk memulakan kembali diet sihat ekzema tersebut. 

Ada sedikit kesal kerana bermula hanya sedikit ingin rasa, akhirnya perkara itu menjadi habit. 

Maka jika anda sudah meneruskan diet sihat,  diet tanpa gula atau bahan proses sila teruskan dan pekakkan telinga. 

Apabila anda bermula kembali kepada benda yang tidak sihat.  Percayalah agak sukar untuk berhenti. 

Kini saya mengumpul kekuatan,  beberapa bulan ini asyik kecundang. 

Ia lebih setahun saya menikmati makanan sesuka hati. 

Ia,  diet saya jauh tidak sihat berbanding tanpa apa-apa kesedaran ketika ekzema tidak pernah menyerang dulu. 

Namun,  kini setelah sembuh saya masih ada sedikit kesal kerana merosakkan diet saya dan tidak pandai mengawal nafsu dalam menikmati makanan. 

Ia tidak salah sekali sekala menikmati makanan.  Tidak perlu salahkan diri. 

Namun jika semakin kerap dan seolah lupa diri dan asyik tidak berjaya kembali ke niat asal diet sihat dan Eat Clean rasanya kesalahan itu harus di tanggung dan rasa bersalah wajib ada kerana merosakkan tubuh sendiri sedang anda tahu kesan ia di masa akan datang. 

Maka,  saya berdoa dan berharap semoga saya diberi kekuatan. 

Namun ketika ini otak saya masih  berfikir ingin menikmati makanan luar atau tidak bersama sahabat saya esok. 

Mohon keraskan hati dan beri hak pada tubuh sendiri untuk menikmati makanan sihat setelah hampir 40 tahun asyik makan makanan mengarut. 

Semoga saya kuat. 


Aaminn. 

Juga untuk anda yang menyimpan impian dan semangat 
 yang sama. 


Terima kasih. 



Resepi Mudah :- Kacang Botak


Kacang Botak 
Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Untuk anda yang mengidam menikmati sesuatu yang bergoreng yang mudah dan enak, selain cekodok dan pisang goreng anda juga boleh menukar snack anda kepada kacang botak.

Ia kacang panggang lebih sihat,  anda boleh menukar minyak sawit kepada minyak kelapa untuk versi yang jauh lebih sihat.

Minyak kelapa terkenal dengan khasiat yang tersendiri.

Berikut adalah bahan-bahan dan cara membuat Kacang Botak mudah ini.

Bahan-bahan Kacang Botak

Bahan A (Bahan Tumbuk)
3 ulas Bawang Putih
6 sudu gula perang
Setengah sudu kecil garam Pink himalayan
** pastikan tumbuk sebati

2 biji telur
Tepung gandum
3 cawan Kacang tanah (basuh dan toskan awal-awal supaya kering)

Cara Membuat Kacang Botak

1. Pecahkan 2 biji telur dalam besen.
2. Masukkan bahan-bahan yang ditumbuk ke dalam besen berisi telur.  Gaulkan. Biar sebati.
3. Masukkan kacang tanah yang telah di basuh dan betul-betul kering ke dalam besen tadi.  Gaul bagi sebati dan keliling semua kacang.
4. Masukkan tepung gandum sedikit-sedikit,  kemudian gaul lagi kacang bagi sebati.
Lebih mudah anda gunakan ayak.  Sambil ayak kacang di dalam ayak,  anda masukkan tepung sikit demi sedikit bagi lekat banyak tepung tapi kacang nampak sebiji-sebiji terasing dan tidak bercantum.
5. Letakkan kacang yang telah dilumuri tepung ke dalam besen lain dan goreng dengan minyak panas.
6. Goreng hanya sekejap sahaja.
7. Lihat warna berubah putih anda terus angkat. Jangan tunggu sehingga kuning.
8. Jangan lupa guna tapis dan alas tisu.

Kacang tanah ketika panas rasa agak mentah,  seperti kurang masak.  Namun apabila sejuk ia akan masak sendiri.

Selamat Mencuba resepi Mudah versi sihat ini.

Terima Kasih.





Rabu, 16 Ogos 2017

KHASIAT LIMAU KASTURI


Baki limau kasturi yang dibeli tempoh hari 
Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Limau kasturi atau nama popular calamansi adalah buah yang popular sebagai bahan masakan di Filipina.  Namun ia amat mudah didapati di Malaysia dan ada golongan yang menjadikan buah limau kasturi ini sebagai jeruk yang hanya perlu di cicah dan di makan bersama garam.

Untuk anda yang sering menikmati oren dan sukakan oren yang tinggi khasiat Vitamin C.  Berita baik untuk anda.

Tidak perlu risau lagi dengan kandungan racun yang tinggi dari buah import itu.

Anda kini boleh menggantikan oren dengan pilihan lebih baik dan selamat.  Paling utama lebih murah iaitu buah limau kasturi.

Pelik tapi benar dari bacaan saya rupa-rupanya calamansi atau buah limau kasturi ini dikatakan lebih bagus dari buah Oren yang amat popular dan menjadi kegemaran ramai itu.

Buah limau kasturi ialah antara buah paling sihat,  ini antara alasan mengapa buah oren jauh ketinggalan berbanding buah limau kasturi ini.

Terdapat pelbagai Khasiat & KEBAIKAN Buah Limau Kasturi antaranya :-

1. Sebagai penambah rasa dalam masakan termasuk sup dan sambal.

2. Minuman yang menyegarkan tekak.

3. Mandian untuk menyegarkan tubuh.

4. Bau yang melegakan stress dan tekanan.

5. Melawaskan pembuangan najis.

6. Melegakan sembelit.

7. Mengurangkan masalah kulit seperti jerawat, bintik hitam dan pelbagai masalah kulit lain.

8. Amat bagus sebagai rawatan sakit tekak.

9. Di gunakan sebagai remedi batuk dengan campuran madu asli.

10.  Tinggi kandungan vitamin C dan antioksidan.

11. Bagus untuk otak.

12. Membantu mengurangkan berat badan.

13. Membantu dalam rawatan gigitan serangga.

14. Turut digunakan dalam rawatan demam.

15. Menguatkan gigi dan tulang.

16. Menguatkan antibodi tubuh.

17. Mengurangkan risiko selesema.

18. Bagus untuk pesakit asma.

19. Sebagai pencuci rambut dan muka,  juga mewangikan rambut dan tubuh.

20. Menghindari masalah bintik di wajah,  jerawat dan masalah kulit lain.

21.Bagus untuk rambut mewangi kan dan hilang kelemumur.

22. Menghilangkan bau badan dan ketiak.

23. Membantu menanggal kotoran degil di pakaian namun elakkan  baju berwarna putih.

Amat mudah menikmati limau kasturi dalam pemakanan dan diet sihat seharian anda boleh menjadikan limau kasturi sebagai tambahan dalam air minuman,  di perah ke dalam makanan seperti ikan bakar   dan makanan laut lain,  di perah ke dalam sambal dan pelbagai lagi


Limau kasturi tinggi kandungan  vitamin C maka tunggu apa lagi,  sila dapatkan limau kasturi di pasar dan pasaraya berhampiran anda.

Tinjauan saya di bandar Kuantan sebiji limau kasturi anggaran harga dalam 10 sen.

Terima kasih.




Tempat Makan Best Di Kuantan Part 46 :- Cendol Kuali Papa Sweet


Kedai Cendol Kuali Papa Sweet ini beroperasi di rumah

Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Ini adalah sambungan artikel sebelum ini 


Jika sebelum ini saya berkongsi tempat Makan Pizza Seni yang enak terletak di Cenderawasih Kuantan. 

Tempat Makan kali ini juga berada di kawasan sama dan berdekatan Pizza Seni Bidadara iaitu di Cenderawasih. 

Cendol Kuali Papa Sweet terletak di dalam perumahan Cenderawasih dan lokasinya di rumah hujung lorong perumahan ini. 


Lama tunggu kita makan dulu
 Ketika sampai,  kami melihat ramai masih menunggu giliran.  Meja masing-masing masih belum di angkat kuali yang telah selesai di makan. 

Kami bertanya meja sebelah,  mereka telah lebih 10 minit menunggu Order namun tiada siapa datang melayan. 

Bayangkan ambil Order pun belum,  maka kami berfikir tentu enak sekali cendol disini sehingga begini sekali sambutan.  Maka tidak hairan ia Viral. 

Sambil menunggu pekerja disini mengambil Order,  kami menikmati Pizza Bidadara yang baru di beli di kawasan berdekatan sini sahaja. 

Antara Menu Cendol Kuali Papa Sweet pilihan kami
Kami memesan 4 cendol,  2 cendol durian,  1 cendol buah dan 1 cendol ais krim juga 1 ais krim kon. 

Seperti yang diagak menu kami sampai lewat.  Maklumlah ramai orang. 

Cendol Kuali Papa Sweet,  cendo buah,  cendol ais krim dan cendol durian 
Akhirnya menu pilihan kami sampai. 

Lihat pada persembahan,  nampak santan dan kuah yang cair. 

Saya berkata,  ini bukan cendol ni macam ABC je. 

Dan seperti agakan dari cara hidangan memang rasa cendol ini tidak seperti yang di viralkan. 

Namun kami positif.  Mungkin kerana tidak terduga dengan Viral dan stok bahan mentah mungkin tidak cukup maka rasa cendol yang Viral itu berubah seratus peratus. 


Makan durian dan buah-buahan sahaja
 Realitinya cendol ini langsung tidak luak di nikmati oleh kami. 

Hanya buah sahaja yang kami makan. 

Mungkin tidak sangka akan sambutan yang diberikan,  cendol ini dari segi perkhidmatan dan rasa untuk beri 1 bintang pun rasa seperti masih tidak sesuai. 

Agak sayang dengan sambutan yang diberikan rasa dan perkhidmatan amat mengecewakan. 

Wajah kena paksa makan

Mungkin nasib kami ketika pergi pada hari Ahad lepas kurang bernasib baik. 

Namun anda boleh mencuba cendol VIRAL,  Cendol Kuali Papa Sweet ini.  

Harga cendol ini dalam RM8-RM10 satu kuali kecil. 

Pujian tetap diberikan kepada pemilik atau peniaga Cendol Kuali Papa Sweet ini.

Dalam kesibukan,  wajah dan layanan pemilik lelaki yang bersongkok dan wanita yang bertudung labuh ini amat lembut,  sopan dan beradab.

Tiada langsung wajah penat atau masam ketika melayan kami,  apa lagi sebarang dengusan.

Kebersihan kedai ini juga saya berikan 5 bintang.  Tersusun,  kemas dan langsung tiada kotoran di lantai atau meja.  Bukan mudah untuk melakukan ini semua dalam keadaan pelanggan yang ramai. 

Bagi anda yang ingin ke Cendol Kuali Papa Sweet  ini,  berikut ialah alamatnya.


https://g.co/kgs/rpvgwa



14, Lorong Bukit Setongkol 27, Taman Cenderawasih Indah, 25200 Kuantan, Pahang, Malaysia


Selamat Mencuba. 

Terima kasih.


Ini adalah sambungan artikel seterusnya

Tempat Makan Best Di Kuantan Part 47:- Salon De Chocolat




Kawal Diri Makan Di Luar


Ada masa makan di luar bersama keluarga,  ada masa bersama rakan-rakan. 
Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Masih belum berjaya Eat Clean. 

Keluarga dan rakan-rakan sibuk ajak menemani mereka menikmati makanan di luar. 

Ikutkan hati ingin sahaja saya membawa bekal sendiri sambil memerhatikan sahaja mereka makan. 

Namun,  saya sendiri tidak kuat dan ingin merasa juga apa rasa masakan dan makanan yang digemari mereka ini. 

Maka ketika saya menemani keluarga menikmati cendol, ketika itu saya berpuasa qadha. 
Hanya bergambar bersama cendol buah-buahan untuk gambar tempat Makan Best. 

Ketika keluar bersama sahabat saya,  saya kerap memberitahu KFC dan McDonald's yang bergoreng saya elakkan.  

Boat Noodles dan Sushi King boleh di maafkan lagi. 

Di Boat Noodles saya hanya memilih 3 mangkuk kecil Mee dan menikmati hanya satu bekas kuih mini kecil ala tepung pelita. 

Tiada air yang di pesan.  Saya hanya menghirup sedikit minuman sahabat saya oleh kerana sahabat saya asyik menceritakan betapa sedap air di Boat Noodles. 

Di Sushi King.  Saya memilih hanya Sushi nasi petak yang berharga RM2 tanpa ayam goreng atau daging atau salmon (apa sahaja),  juga Sushi dari tauhu manis. 

Cukup 3 piring.  Baru sahaja menikmati Sushi tempoh hari adik ipar belanja tak perlu saya mengharu - birukan diet yang ada.

Jika dahulu sering saya mendengar dan membaca komen keluhan sukar berdiet atas ajakan rakan-rakan dan keluarga.  Nampaknya kini giliran saya menghadapi isu yang sama.

Namun sejujurnya saya sendiri ingin keluar dan bergembira.

Maka,  bagi mengurangkan makanan tidak sihat yang saya nikmati,  saya mengurangkan porsi yang biasa saya makan kepada jauh lebih sedikit dari dulu.

Sebelum berdiet lebih sihat.  Berpuluh piring Sushi saya boleh habiskan termasuk Mee sup.

Namun kini perlahan-lahan saya berubah.

Anda boleh terus diet drastik jika anda berkemampuan.

Tidak perlu ikut insan lain.

Bagi saya,  saya diet perlahan-lahan dan didik tubuh saya perlahan-lahan.

Jika waktu menghadapi  ekzema dahulu memang saya diet drastik dan ia memang agak tertekan pada mulanya.  Namun ia berubah menjadi kesukaan saya.

Namun saya tidak kuat seperti mereka yang lebih kuat,  maka saya terjerumus kembali kepada diet kurang sihat.

Masih ingin kembali ke track yang lebih sihat dan jauh sihat dari ketika mengharungi TSW atau ekzema dahulu.

Saya pasti akan cuba berikhtiar untuk berjaya mencapai impian saya itu.  Insyallah.

Doakan saya.

Terima kasih.




Sabtu, 12 Ogos 2017

Antara Roti Vegan Organik Terbaik


Roti Sprouted Organik Coklat dari NHF
Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Sebelum ini saya pernah berkongsi antara Roti pilihan terbaik untuk diet anda di tajuk 


Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda peminat roti coklat dan kismis,  tanpa perlu menyapu apa-apa di atas roti atau menyediakan air panas,  anda boleh menikmati roti ini begitu saja.

Rasa roti organik ini sedap dan tidak manis. 

Tidak seperti roti Sourdough,  roti ini masih menggunakan yis namun bukan yis komersial. 

Roti ini adalah roti Sprouted keluaran syarikat penjual barangan kesihatan dan organik terkenal NHF. 

Harga roti ini RM11.70. 
Dalam bungkusan besar iaitu 2 x ganda roti sourdough biasa yang saya beli di kedai organik. 

Ia tanpa raw cane sugar untuk roti versi untuk diabetes  dan menggunakan Brown sugar untuk roti ini. 

Tentu sahaja roti ini dari bahan organik terpilih. 

Ia juga sesuai dinikmati oleh mereka yang sedang mengamalkan diet vegetarian. 

Roti ini tanpa pengawet dan anda harus menyimpan ia di dalam peti ais. 

Roti ini dijual di kebanyakan kedai organik dan juga kedai NHF. 

Tidak seperti roti komersial yang anda boleh lihat penuh dengan bahan-bahan yang mengelirukan dan tidak sihat. 

Roti ini jauh sihat dari roti komersial.

Sesetengah individu akan menghadapi isu perut kembung dan sebu, loya dan sakit tekak jika kerap menikmati roti komersial.

Malah roti komersial juga antara salah satu faktor kesukaran menurunkan berat badan jika anda kerap menikmatinya. 

Anda boleh Perlahan-lahan menukar ke roti lebih sihat dan terus kepada roti yang lebih sihat. 

Setiap diet sihat harus di lalui secara berperingkat tanpa memaksa diri sehingga stress. 

Lama-kelamaan anda sendiri akan lebih menitik beratkan diet yang jauh lebih sihat dari hari ini seiring kesedaran dan usia. 

Tunggu apa lagi jika anda menjumpai kedai yang menjual roti ini anda boleh mencubanya. 


Terima kasih. 




Rabu, 9 Ogos 2017

MEE SOBA ORGANIK TANPA GARAM


Organic Cha Soba Green Tea Noodles 
Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Saya pernah menulis mengenai satu produk Ramen Organik yang tinggi sodium atau garam dalam artikel sebelum ini

Ramen Organik

Ia, antara makanan sihat pilihan ramai kini lebih kepada mencari organik, sihat dan tanpa garam.

Malah ada yang mencari produk organik tanpa telur,  produk tenusu dan Gluten.

Untuk artikel ini saya ingin berkongsi dengan anda produk Mee Soba (mee terkenal Jepun)  iaitu Soba teh hijau.

Kebiasaannya terdapat banyak perisa mee Soba termasuk lobak,  bayam,  labu dan pelbagai lagi.

Bagi anda yang inginkan pilihan  lebih sihat tanpa garam anda boleh pilih produk organik Cha Soba dari jenama Hakubaku ini.

Saya membelinya baru-baru ini secara atas talian (online)  di website Signature Market di mana ketika itu harga promosi di tawarkan hanya RM6.90.

Saya ada menulis pengalaman dan Review pembelian saya secara Online di Signature Market di artikel

Beli Belah Online di Signature Market

Bahan-bahan yang digunakan 

Hanya bahan-bahan organik dan sedikit bahan sahaja yang digunakan.

Tidak seperti produk komersial lain yang penuh dengan senarai bahan yang mengelirukan produk ini tertulis semua bahan yang pasti semua kenali.

Pesanan pakar kesihatan,  beli produk yang anda jelas apa yang digunakan.
Jika anda tidak tahu apa bahan itu,  digalakkan Google atau pilih sahaja produk yang anda lebih kenali dengan lebih dekat untuk di beli dan digunakan.

Pilihan lain anda boleh membeli pelbagai jenama Food processor murah untuk membuat Mee sendiri,  namun jika anda kekurangan masa anda boleh beli sahaja asalkan diet anda lebih sihat.

Selain menggunakan bahan yang yang lebih selamat.
Produk  Organic Cha Soba ini juga mendapat sijil Halal,  sijil Kosher,  sijil Organik dan tidak ditambah garam.

Saya percaya terdapat banyak lagi produk organik yang tidak ditambah garam yang dijual.
Ia sama ada anda terus mencari atau pilih sahaja yang paling dekat dengan anda.

Semoga artikel ini memberi anda Info untuk merancang diet sihat anda.

Terima kasih.







Pengalaman Membeli Belah di Signature Market


Komunikasi dan perkhidmatan yang pantas dari Signature Market dan Ninja Van
Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Ini adalah sambungan artikel sebelum ini

Beli Produk Semulajadi di Signature Market

Setelah selamat membeli produk Soba Noodle Organik dan terpilih untuk mendapatkan percuma Chocolate Chips cookies yang di tawarkan untuk promosi 3 hari belian dari 4-6 Ogos lalu melalui belian secara Online.

Akhirnya belian saya dari Signature Market selamat tiba hari Selasa (semalam).

Untuk info saya membeli produk ini pada hari Ahad.

Pada hari Isnin pagi saya menerima Email dari Signature Market memaklumkan bahawa cookies saya sedang di masak (produk cookies ini dimasak segar dari dapur) dan akan diposkan kepada saya segera.

Saya mengandaikan ia akan sampai dalam seminggu,  atas asbab promosi menarik Signature Market ini.

Ingin ditegaskan disini Signature Market sentiasa membuat promosi baru seperti yang kerap dibaca di Facebook dan instagram sponsored yang sering lalu depan mata saya ketika saya melayari Facebook dan instagram.

(Semalam,  saya lihat ada promosi RM1 untuk belian pertama untuk Mix Nut yang berharga Rm20,  selain itu promosi harga Rm8 untuk pelbagai kekacang juga berlangsung)

Paling istimewa Signature Market turut mengadakan promosi istimewa percuma 3 bulan ahli Signature Market.

Untuk info anda bayaran untuk menjadi ahli Signature Market setahun ialah RM200.

Wajar promosi ini di ambil sebelum ia tamat, Sekurang-kurangnya anda ada 3 bulan untuk membeli belah dengan harga potongan ahli sehingga 50% di Signature Market.

Anda tidak perlu risau dengan perkhidmatan Signature Market ini.

Perkhidmatan Signature Market ini cukup pantas.

Saya membeli produk pada hari Ahad,  terima Email pemberitahuan snack dan produk saya siap di packing berserta reference box saya dari Ninja Van pada hari Isnin.

Pada hari Selasa,  saya selamat menerima bungkusan ini.

Servis dari Ninja Van juga harus di puji.

Dari SMS yang dihantar memaklumkan barang saya dalam perjalanan dan Email memaklumkan ketibaan menunjukkan komunikasi yang mantap.

Saya memberi 10 bintang untuk servis Ninja Van apabila di minta untuk kaji selidik.

Anda juga harus melakukan perkara yang sama.  Rajin mengisi soalan kaji selidik,  ini akan membantu masyarakat menerima perkhidmatan lebih baik.  Jika tidak bagus,  sila maklumkan pengalaman anda,  mereka pasti akan  tingkatkan perkhidmatannya dan masyarakat termasuk kita sendiri akan mendapat manfaatnya.

Malah saya juga akan memberi 10 bintang jika Signature Market juga melakukan kaji selidik untuk perkhidmatan mereka.

Selain saya,  ibu saya turut mendaftar menjadi ahli Signature Market.

Saya juga turut menggalakkan kakak saya dan sahabat saya yang lain menjadi ahli.

Sebagai insan biasa,  ramai antara kita memberi alasan tidak punya masa untuk membeli belah bahan makanan lebih sihat.

Dengan pelbagai Website dan kedai Online shopping yang muncul ia lebih memudahkan masyarakat untuk membeli belah terutama jika ia disertakan perkhidmatan penghantaran percuma.

Anda juga lebih mudah merancang untuk membeli berpandukan Budget dengan harga paparan yang ditawarkan dan diskaun menarik.

Tidak semua produk Semulajadi mahal.
Anda bukan perlukan portion yang terlalu banyak untuk sekali makan.  Sekurang-kurangnya ia akan mengajar anda makan dalam porsi lebih kecil dan berjimat cermat.
Pilihlah produk yang sesuai Budget anda.

Ada produk kurang RM10 dan ada yang lebih RM30.

Anda harus bijak memilih.

Sekian sahaja artikel ini.

Saya akan berkongsi Website dan kedai shopping makanan sihat lain yang menarik selepas ini.

Terima kasih.





Isnin, 7 Ogos 2017

Masih Cuba Eat Clean


Antara Menu Cheat Day minggu lepas
Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Benarlah kata orang tua,  apa bila ingin dan berniat sesuatu simpan saja dalam hati.

Apabila sudah berjaya melakukannya barulah anda hebohkan kepada insan lain.

Begitu juga dengan Eat Clean.  Setelah mengemaskini status di instagram,  Facebook dan tentu sahaja Blog.

Sungguh bijak tuhan merencana,  kereta menghadapi kerosakan ketika ingin membeli stok makanan organik dan hari ini saya masih berfikir menu Eat Clean yang perlu saya makan sementara menunggu kereta disiap di baiki.

Berhadapan dengan pelbagai status yang lalu lalang di Facebook,  bahaya terlalu tinggi karbohidrat yang boleh menambah gula dalam tubuh, dan menggalakkan diet kurang nasi atau meninggalkan nasi membuatkan saya gelabah sebentar.

Namun apabila saya tersedar saya perasan,  apabila meninggalkan nasi,  agak mudah diet saya ke laut berbanding menikmati nasi.

Namun itu tidak bermakna makan nasi dalam jumlah yang banyak saya persetujui namun bagi saya cukuplah suku pinggan nasi dan lainnya lebihkan sumber sayur dan protein.

Bagi saya nasi jauh lebih baik dari makanan proses lain kecuali anda berjaya mendapatkan keledek manis Jepun organik sebagai ganti dan dibakar dengan suhu rendah.

Pilihan lain penganti nasib yang mengenyangkan anda boleh cuba jagung atau quinoa.

Kuah asam pedas masakan ibu dan ikan panggang hasil air tangan saya 
Atas alasan tiada roti Sourdough dibeli maka saya hanya menikmati roti gandum dan roti putih jenama Gardenia juga roti sourdough jenama Gardenia. 

Ia,  saya tahu ia roti proses komersial yang masih tinggi bahan tidak bagus untuk tubuh.  Saya tetap menikmati ia, lama tidak makan roti Gardenia rasanya.  Tahun ini saya hanya menikmatinya di rumah kakak saya dan adik lelaki saya dan kini di rumah keluarga saya. 

Tentu sahaja saya akan meletakkan sasaran untuk berhenti menikmati roti ini apabila saya sudah bersiap sedia dengan stok makanan yang sesuai dan lebih sihat. 

Ia saya terpaksa rela menikmati karipap Frozen dan temosa Frozen.  
Realitinya apabila makan makanan bergoreng memang susah untuk berhenti mengunyah. 
Memang sedap.  Tidak cukup karipap,  temosa, keropok lekor dan keropok keping juga kerepek pisang saya nikmati. 

Itu saya benci jika kononnya hanya ingin merasa. Setelah masuk mulut memang tidak sedar sepinggan habis dan di tambah lagi dengan stok baru lebih panas. 

Ia saya ingatkan bercakap sahaja manusia tidak sedar sudah masuk azan waktu solat,  rupanya apabila menikmati makanan enak dan anda telah lama mengawal diri apabila makan memang lagi lupa diri. Fahamlah saya ungkapan itu. 

Ramen Organik kekal saya nikmati apabila malas.  Itulah saya apabila mood tiada. 

Teringat ketika sakit TSW dan ekzema dahulu. 
Pandang makanan tidak sihat pun  tiada selera walaupun  kek coklat atau Brownies. 
Maklumlah berpantang makan dan sakit. 

Kini mentanglah sudah sembuh,  saya semakin sambil lewa. 

Itu akibat apabila lidah sudah terbiasa kembali dengan diet tidak sihat,  sukar meninggalkan habit ini. 

Jika anda masih di dalam segmen diet sihat dan diet ekzema teruskan lah. 

Jangan terikut mereka yang telah sembuh. 

Saya sendiri tengah mencuba kembali ke pangkal jalan untuk menikmati masakan sihat. 

Semalam,  tengah hari saya menikmati nasi putih biasa dan asam pedas masakan ibu saya.. Tentu sekali gula Putih,  garam putih dan perencah HILAL di gunakan untuk menyedapkan masakan. 

Mujur ibu saya turut menambah kacang bendi. 

Saya hanya rajin memasak ikan bakar.  Oleh kerana serbuk kunyit di dapur saya tahu dari campuran bahan lain bukan, 100% kunyit asli maka saya hanya menyapu garam sahaja pada ikan selar segar sebelum membakarnya. 

Ia rupa ikan bakar ini tidak menyelerakan tanpa serbuk kunyit.  Namun setelah di tambah serbuk lada putih organik dan perahan jus limau kasturi ia menjadi lebih enak. 

Ulam pucuk gajus turut di nikmati bersama nasi putih ini. 
Mungkin menu tengah hari saya bukan menu Eat Clean sepenuhnya namun ia bagi saya tetap boleh diterima sebelum betul-betul Eat Clean. 

Petang saya dan keluarga menikmati masakan arab di restoran Arab kegemaran kami. 

Hari ini tentu saya masih berdoa dan ingin berusaha untuk Eat Clean. 

Ketika hari minggu dan bersama keluarga saya agak sukar menolak, bukankah itu detik bersama keluarga. 

Namun jika anda sakit dan mempunyai sakit serta antibodi lemah lebih baik anda jauhkan diri untuk menikmati masakan di luar dan bawa bekalan anda sendiri.  Ini lebih bagus dan selamat. 

Untuk saya,  buat masa ini.  Ini cara saya lebih-lebih lagi tempat Makan Best adalah antara kategori yang di persembahkan di Blog ini. 

Semoga makin banyak restoran dan tempat Makan sihat wujud di Kuantan dan di Malaysia ini. 

Alangkah indah jika ia benar-benar terjadi. 

Tentu lagi indah hari minggu dan makan luar bersama keluarga. 

Salam sayang dari saya. 

Terima kasih kerana terus meminati setiap artikel di Blog ini. 

Terima kasih. 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...